Thursday, July 31, 2008

PKR - Sidang Media



KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA
31 JULAI 2008, PETALING JAYA, MALAYSIA

Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada YB Tan Sri Speaker Dewan Rakyat Datuk Pandikar Amin Bin Hj. Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihan -raya kecil secepat mungkin.

Ini adalah konsisten dengan matlamat kami untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan baru dalam tahun ini.

Keputusan ini adalah yang terbaik buat Malaysia.

Negara ini sedang berhadapan dengan cabaran yang paling getir semenjak mencapai kemerdekaan. Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO terbukti telah gagal mengurus ekonomi negara ini dan membawa negara ini menuju kehancuran. Kerajaan ini telah menyebabkan integriti sistem keadilan hancur ke tahap yang memalukan. Ia membiarkan api perkauman semakin bernyala -nyala dan membuatkan etnik Melayu, Cina dan India saling tidak mempercayai satu sama lain di samping sengaja mengabaikan keperluan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.

Anwar Ibrahim telah mengungkapkan visi untuk Malaysia yang telah pun membenihkan harapan buat rakyat. Beliau mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan untuk membangunkan kembali ekonomi negara ini, juga karisma dan integriti untuk menyatukan rakyat Malaysia serta mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kenegaraan. Saya akan terus berkhidmat sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat dan pengerusi Yayasan Aman.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyokong saya di Permatang Pauh yang selama ini sentiasa teguh di belakang saya di dalam melalui saat-saat sukar semenjak dari September 1998 dan saat-saat manis kemenangan 8 Mac 2008. Masa depan negara kita bergantung kepada dedikasi dan komitmen terhadap keadilan dan kebebasan yang saya lalui
selaku wakil anda semua di Parlimen dan saya akan sentiasa berkhidmat untuk anda pada masa depan seikhlas mungkin.

DATO’ SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

No comments: